Tuesday 27 March 2018

10 TIPS ATASI MASALAH ANAK KURANG SELERA MAKAN

10 TIPS ATASI MASALAH ANAK KURANG SELERA MAKAN

Pernah tak anda sebagai ibu bapa mengalami masalah anak yang susah nak makan atau seolah-olah tiada selera makan? Saya percaya rata-rata ibu bapa ada yang mempunyai masalah ini kan. Setiap kali tiba waktu makan, samada sarapan, makan tengah hari, atau makan malam mesti anak mengelak dan lebih berminat untuk bermain daripada duduk makan.

Perkara ini akan membuatkan ibu berasa pening kepala memikirkan kenapa anak susah nak makan dan juga boleh membuatkan ibu stress memikirkan hal ini.

Kesan Jika Anak Kurang Selera Makan

1. Kekurangan Nutrisi harian
2. Mudah terkena jangkitan atau demam
3. Masalah kekurangan berat badan
4. Tumbesaran perlahan
5. Imuniti badan lemah
6. Kulit mudah terluka dan jika ada luka lambat sembuh
7. Kulit bersisik
8. Otot badan kurang menyokong sistem badan
9. Masalah pembelajaran terganggu
10. Kekurangan tenaga menyebabkan kanak-kanak nampak lemah dan kurang bermaya
11. Risiko anemia akibat kekurangan darah
12. Perkembangan minda perlahan

Pastinya anda tidak mahu anak-anak anda tertinggal atau lambat dalam pembelajaran betul tak? Ini kerana anak-anak yang kurang selera makan semestinya akan kekurangan nutrisi juga dan faktor ini akan menyebabkan perkembangan minda dan pembelajaran mereka akan terganggu.

Jadi disini saya sudi kongsikan pada ibu bapa semua Tips untuk Atasi Masalah Anak Kurang Selera Makan.

10 TIPS ATASI MASALAH ANAK KURANG SELERA MAKAN

1. Makan Bersama-sama
Ambil peluang untuk makan bersama-sama anak-anak. Jika anak melihat ibu bapanya serta adik beradik lain makan, secara tidak langsung ia akan menambah selera makan anak tersebut untuk turut serta. Ini kerana anak-anak mudah untuk mencontohi ibu bapa. Amalkan setiap hari samada sarapan, makan tengah hari atau makan malam selain ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

2. Jangan Paksa Anak Makan
Situasi memaksa anak makan tidak akan membantu mereka malah ia akan memburukkan lagi keadaan. Anak-anak akan menganggap ia adalah satu penyiksaan dan akan terus membenci.

3. Pelawa Anak Makan Semasa Lapar dan Tenang
Semasa anak bertenang dan agak-agak lapar, cuba pelawa mereka makan. Jangan tunggu mereka terlalu lapar untuk mempelawa. Bimbang anak tak selesa perutnya sebab terlalu lapar dan lagi akan menyebabkan mereka langsung tak mahu makan dengan keadaan tak tenang. Orang dewasa sendiri pun kalau lapar sangat mesti tak senang duduk kan apatah lagi kanak-kanak

4. Cipta Suasana Makan Yang Menggembirakan
Wujudkan suasana makan yang membuatkan anak-anak gembira. Sebagai contoh menyanyikan lagu kegemaran anak-anak sambil menyuap makanan ke dalam mulut mereka. Pasti anak-anak berasa seronok dan secara tidak langsung mereka makan apa yang disuap oleh ibu.

5. Hidangkan Makanan Menarik
Cuba hidangkan makanan yang boleh menarik perhatian anak-anak untuk makan seperti bentuk yang anak-anak suka, warna kegemaran, atau apa saja corak dan hiasan yang comel-comel mengikut kreativiti anda sendiri.

6. Elak Memberi Makanan Ringan

Elakkan anak-anak dari makan makanan segera atau makanan ringan yang kebanyakkannya mengandungi MSG sebelum tiba waktu malam. Ini kerana makanan yang mengandungi MSG akan mengurangkan selera makan anak-anak terhadap makanan yang bebas MSG

7. Ajak Anak Makan Dengan Rakan Sebaya Atau Saudara Sebaya
Sesekali ajaklah anak-anak makan dengan rakan sebaya mereka atau saudara sebaya. Ini kerana anak-anak sukakan suasana makan beramai-ramai. Ia akan membangkitkan lagi keinginan untuk mereka makan.

8. Ajak Anak Membeli Barangan Dapur Bersama
Jika ke pasaraya, ajak anak sekali untuk membeli barang dapur seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran. Sambil membeli tunjukkan pada mereka bahan-bahan yang digunakan untuk memasak.

9. Galakkan Anak Membantu Menyediakan Makanan
Seperti contoh meminta anak untuk membawa pinggan ke meja, letak sudu dalam mangkuk, kalau anak besar sikit boleh minta mereka tolong potong-potong.

10. Tanya Pendapat Anak Tentang Menu Yang Diingini
Galakkan untuk bertanya kepada anak tentang menu yang mereka suka. Ini akan membuatkan anak-anak rasa dihargai dan disayangi.

Justeru itu, ibu tak perlu lagi risau dengan masalah anak yang kurang selera makan ni. Ibu-ibu boleh aplikasikan tips tersebut setiap hari. Cuba satu satu. Andaikata tips nombor satu kurang berkesan boleh cuba tip kedua dan seterusnya.

Semoga enty ini bermanfaat bagi ibu bapa semua.

0 comments:

Post a Comment